Kami tidak menentang JPA
![]() |
JPA |
Presidennya, Che Saad Hashim berkata, pihaknya akan memperjuangkan nasib dan hak ahlinya melalui serahan kertas cadangan yang mengandungi saranan meletakkan nilai tambah dalam Pekeliling Skim Perkhidmatan Bil. 1/2016.
“Saya melihat JPA seolah-olah meminggirkan bidang pembantu tadbir ketika melaksanakan proses penambahbaikan skim perkhidmatan bulan lalu menyebabkan kebanyakan kakitangan mula mengeluh terutamanya Gred N yang tidak disentuh langsung.
“Kami tidak menentang tetapi lebih kepada mengharapkan JPA sebagai sebuah institusi yang boleh mengubah nasib kira-kira 100,000 kakitangan pembantu tadbir sedia ada,” katanya dalam sidang akhbar penggubalan semula skim perkhidmatan di bawah Gred N, W dan S, di sini hari ini.
Yang turut hadir, 10 presiden pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersama-sama memperjuangkan hak ahli masing-masing dengan membuat perbincangan penggubalan kertas cadangan penambahbaikan Skim Perkhidmatan PT (P/O), W dan S bagi sesi kedua.
Antara NGO yang turut serta termasuk Gabungan Kesatuan Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS), Kesatuan Pembantu Tadbir Kementerian Kesihatan (Keptakes), Kesatuan Kakitangan Am Universiti Sains Malaysia (KKAUSM), Kesatuan Kakitangan Umum UiTM (KKUUiTM) dan Kesatuan Kakitangan Am Universiti Malaya (KKAUM).
Empat lagi NGO terlibat ialah Kesatuan Pegawai-Pegawai Mara (Kekam Mara), Kesatuan Staf Pelaksana Universiti Malaysia Kelantan (Kespumk), Kesatuan Kakitangan Perkhidatan Tadbir dan Awam Pasukan Polis Semenanjung Malaysia (Pacsu), Kesatuan Pekerja-Pekerja Awam Angkatan Tentera Malaysia (Kesatria) dan Kesatuan Kakitangan Universiti Utara Malaysia (Keswa).
Terdahulu, JPA telah menyempurnakan proses penambahbaikan 252 skim perkhidmatan sedia ada di bawah langkah rasionalisasi Skim Perkhidmatan Bagi Perkhidmatan Awam Persekutuan dan telah dimuat naik ke laman sesawang JPA pada 14 April lalu.
Tambah Che Saad, antara tiga intipati yang akan disenaraikan dalam kertas cadangan kepada JPA adalah pindaan gred, pindaan nama serta cadangan mewujudkan gred baharu khas untuk penyandang (KUP) jawatan tertentu.
Sementara itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal ketika dihubungi berkata, pihaknya telah dimaklumkan tentang kertas cadangan daripada Keptan ketika membuat perjumpaan dengan kesatuan itu pada 13 April lalu.
“Namun sehingga kini saya belum menerima kertas cadangan tersebut tetapi saya akan mengkaji kesemua cadangan yang dikemukakan sebaik sahaja menerimanya daripada Keptan dan 10 NGO lain,” katanya.
Sumber : Utusan Online
Comments
Post a Comment